Sunday, May 3, 2009

Warkah 38: Ayuh!

Kamu sudah menekuninya. Belajar tunggang-balik sehingga terabai makan dan minum. Belajar hingga lewat malam, belajar sendirian dan berkumpulan. Semuanya kerana mahu mencapai target, lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan. Apa hasilnya? Ada kalanya kamu mendapat hasil yang menggembirakan dan tidak kurang juga target yang kamu sasarkan itu jauh melencong. Di kala itu kamu selalu mengeluh kecewa. apatah lagi apabila melihat ada orang berjaya tanpa berlelah seperti kamu. Bertambah kecewa.

Kita sering terlupa bukan usaha yang bersungguh-sungguh sahaja menjadi faktor kejayaan seseorang. jika begitu, apa bezanya kita dengan mereka?

Kemuncak kepada kesungguhan dalam sesuatu pekerjaan itu ialah doa. Mohon kepada-NYa dengan bersungguh-sungguh sebagaimana bersungguhnya kita dalam berusaha. Mohon restu orang tua, orang-orang yang menyumbangkan ilmu kepadamu dan orang-orang yang pernah mendidikmu. Minta restu daripada mereka. Doa mereka juga memainkan peranan penting.

Bagi kita, ini bukan sekadar kejayaan semata-mata. Ini soal keberkatan. Kejayaan tanpa keberkatan tidak ada ertinya. Ia akan berlalu pergi tanpa meninggalkan apa-apa kesan malah kebanggaan mendabik dada di atas kejayaan yang dicapai adalah daripada usaha gigihnya semata-mata.

Tetapi bersama keberkatan kita dapat merasai sesuatu yang indah di sebaliknya. Samada kita berjaya atau tidak, kita masih mampu menarik nafas lega dalam redha bahawa itulah yang terbaik untuk kita buat masa ini di samping azam yang kuat bagi melipat gandakan lagi usaha dan doa.

Permata hatiku, ayuh teruskan langkahmu!

No comments:

http://bukuez.blogspot.com/