Apabila kita kehilangan sesuatu yang kita amat sayangi, tentulah impaknya begitu ketara ke atas diri kita. Tidak kiralah barang itu berharga atau tidak namun apabila ia tersimpan nilai sensitiviti maka kita sering kali keberatan melepaskannya apatah lagi hilang!
Namun kita perlu ingat setiap yang dimiliki di bumi ini hanyalah sementara. Terlalu banyak barang-barang yang kita sayang yang menyimpan berbagai kenangan, kita simpan dengan baik sehingga memenuhi rak dan almari. Adakalanya sehingga tidak terjaga, terus dihuni habuk dan debu tanpa dimanfaatkan. Alangkah baik sekiranya kita berfikir lebih terbuka... bagaimana kiranya aku sedekahkan kepada orang-orang yang memerlukan dan aku beroleh pahala. Bukankah memberikan barang yang paling kita sayangi itu besar pahalanya di sisi Allah?
Begitu juga apabila orang-orang kita sayangi berlalu pergi. Berat hati kita melepaskan mereka walau pun mereka pergi kerana menunaikan tuntutan agama, menunaikan tanggongjawab seorang hamba. Dalam masa yang sama, kita yakin satu hari nanti kita akan dipertemukan lagi dengan izinNya.
Namun rasa kehilangan lebih mencengkam apabila orang yang kita sayangi pergi tidak kembali lagi. Lain rasanya... sekali lagi kita meluaskan lagi keterbukaan fikiran kita... Dia pergi ke suatu tempat yang lebih selamat, paling selamat iaitu ke sisi penciptanya. Bukankah itu satu-satunya tempat yang paling selamat? Rasa kehilangan memang tidak dapat diluputkan namun berbanyak-banyaklah mengiringinya dengan sedekah al Fatihah semoga rohnya bahagia di sana. Sesungguhnya dia memang layak menerima kedudukan istimewa di sisi penciptanya kerana dia terlalu banyak berkorban, berkorban segala-gala yang dimilikinya bagi kesejahteraan anak-anak. Sebagai seorang anak pula sewajarnya tidak melupakan semua itu dengan kembali melafazkan, Wahai tuhan kami, kasihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka mengasihani kami sejak kecil.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment