Kita menyimpan hasrat hendak melakukan banyak perkara. Kita juga mempunyai seribu satu cita-cita dalam hidup ini. Namun dari mana perlu kita gerakkan hasrat dan cita-cita kita itu?
ISlam mengajar memulakannya dengan NIAT. Bermakna titik permulaan ke arah mencapai hasrat dan cita-cita itu ialah dari dalam. Itu yang sebenar-benarnya. Bermula dari hati sebagai 'raja' kepada seluruh anggota. Raja yang sudah jelas apa hasrat dan cita-citanya akan segara memberi arahan kepada seluruh menteri-menterinya, tentera-tenteranya berusaha dan bersamanya. MInda, mata, telinga, kaki dan tangan segera terarah sepenuhnya sehingga tercapai apa yang dihajatkan. Itu ialah kesatuan diri yang bertugas melalui saluran yang teratur.
Jika cita-cita dimulakan dengan mengarahkan minda berfikir, mata berjaga sepanjang malam menelaah rujukan, telinga diprogram agar mendengar setiap perkembangan, kaki dan tangan pula sibuk mencari itu dan ini bagi menjayakan hasrat, satu ketika mereka akan terduduk kelelahan. Apabila menemui jalan buntu mereka mudah berputus asa. Sekali jatuh mereka takut bangun lagi. Mengapa? Kerana ia tidak bermula dari titik tolak yang betul. Tanpa dorongan dan semangat yang padu.
Wahai permata hatiku, kembali selami ke dalam dirimu, kenali hatimu. Bergabung dengannya. Berpakat dan bersatulah dalam menggapai apa yang kamu inginkan. Insya Allah kamu akan temui seribu satu kekuatan yang sukar digambarkan. Nikmatilah perjalanan menuju cita-cita itu dengan wajah yang segar lagi ceria. Hadapi setiap halangan yang pasti menunggu setiap usaha itu dengan satu kekuatan yang jitu dan kukuh. Seterusnya bertawakkal kepada Allah. Allah sentiasa bersamamu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment