Dalam pergaulan seharian, kita menemui berbagai ragam manusia. Sebahagian mereka menjadi dekat kepada kita disebabkan beberapa urusan. Sebahagian daripada mereka pula ada yang menjadi lebih akrab dan lebih rapat sehingga kadang kala kita menganggap mereka sebagai sebahagian daripada ahli keluarga kita.
Semakin dalam ikatan persaudaraan yang dibina, kita akan temui berbagai kelebihan dan kelemahan mereka. Dalam diam kadang kala kita mula menilai diri sahabat handai di sekeliling, yang mana lebih serasi dan yang mana kurang serasi dengan diri kita.
Apa yang perlu diingatkan ialah bukan sahaja kita menilai mereka tetapi mungkin mereka juga sedang menilai diri kita. Oleh itu dalam kita menghargai sesuatu kelebihan seseorang, jangan sekali-kali memperkecilkan kelemahan seseorang yang lain. Kerana diri kita juga tidak lepas dari berbagai kelemahan diri menurut kaca mata mereka. Hormati mereka dengan bersangka baik bahawa mereka sedang berusaha memperelokkan akhlak atau kita sendiri turut membantu memberi laluan mudah kepada mereka. Secara tidak langsung mengasuh diri kita meruntuhkan segala akhlak buruk yang masih bersaki baki dalam diri.
Setiap diri ada kelemahan. Sebab itulah kita diajar hidup berjamaah. Bermula dari mendirikan solat berjamaah agar saling lengkap melengkapi umpama ketulan batu bata yang saling bercantum membentuk sebuah bangunan yang kukuh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment