Monday, December 10, 2007

Warkah 5: Saling memberi dan berkongsi

Matahari tersenyum di pagi hari menyerlahkan sinarnya. Senang hatinya dapat berkongsi apa yang dikurniakan kepadanya. Cahaya yang terang. Berkongsi bersama seluas alam yang terbentang bersama penghuni-penghuninya.

Usah bertangguh wahai permata hatiku. Bangunlah berkongsi keindahan ini dan nikmatilah kebahagiaannya. Satu kebahagiaan akan meresap ke dalam dirimu apabila saling memberi dan berkongsi apa yang kamu miliki. Jangan risau atau cemas akan berkurangan apa yang kamu miliki itu. Malah ianya akan bertambah dan terus mengkayakan dirimu, membahagiakan dirimu. Cubalah!

Di pagi yang semakin terang bertebaranlah ke destinasi yang telah dirancang semalam. Tidak usah bertangguh lagi kerana kamu tidak mungkin tahu bila sahaja kamu dijemput pulang sedang kerja-kerjamu masih bersisa belum beres. Jangan dilayan perasaan malas, letih dan mengantuk di waktu begini. Ayuh! bangun dan teruskan apa yang dirancang. Insya Allah, dipermudahkan segala urusanmu.

No comments:

http://bukuez.blogspot.com/