Tuesday, December 25, 2007

Warkah 14: Bahasa alam

Bayu pagi yang bersih dan menyegarkan. Ketika itu banyak orang masih berselimut. Ada kalanya selepas solat subuh kembali membungkus diri terus menyambung nikmat tidur. Walau pun ketika itu sinar pagi yang gemilang dengan cahaya pelanginya, bayu pagi yang lembut sentuhannya, kicauan ibu dan bapa burung memberi pesan kepada anak-anak mereka sebelum terbang mencari rezeki mula riuh memberi salam. Adakah kamu mendengar ucapan salam mereka wahai permata hatiku?

Dengar dan lihat apa di sekelilingmu. Tetapi bukan dengar dan lihat yang kaku. Di sebalik sinar gemilang matahari itu lihatlah betapa hebat yang menciptakannya. Di sebalik lembutnya belaian bayu pagi di pipimu rasailah betapa hebat yang menciptakannya. Di sebalik keriuhan kicauan burung, lihat dan dengar nasihat mereka. Belajarlah memahami bahasa mereka. Bahasa alam yang tidak henti-henti berbisik menyampaikan pesan.

Tahukah permata hatiku, apakah pesan mereka itu?

No comments:

http://bukuez.blogspot.com/