Thursday, May 15, 2008

Warkah 28: Bekas

Sejurus minuman dituangkan ke dalam sebuah bekas yang tidak bersih, tiada siapa pun yang dapat nikmatinya. Samada untukmu apatah lagi dihidangkan kepada orang lain. Ya. Kerana ia tercemar. Amat merugikan minuman yang asalnya bagus tetapi disebabkan bekasnya tercemar langsung tidak dapat menghilangkan haus sesiapa. Terutama pemilik bekas itu sendiri. Iaitu kamu, bukan?

Permata hatiku, samalah juga dengan hati kita. Bersihkan selalu daripada segala prasangka buruk terhadap Allah. Tidak kira di situasi mana sekali pun kamu berada. Terutamanya di ketika kamu ditimpa musibah. Sedarlah bahawa ketika itu kamu sedang diuji olehNya. Kikis segala perasaan negetif yang mula menapak di hati kamu. Titik-titik hitam begitu jika terus dibiarkan membuat hatimu terus tidak bersih. Di waktu itu apa pun nasihat yang diberi tetap kamu tepis dan tidak terima. Samalah situasi minuman segar tadi. Biarpun ia bersih tetapi tetap tidak dapat kamu nikmati kerana bekas tadahannya tidak bersih. Kamu sendiri pun tidak mampu meminumnya.

Justeru itu, bersihkanlah hatimu. Gilap ia sentiasa dari masa ke semasa. Pastikan ia siap menerima curahan ilmu, nasihat dan teguran daripada mereka yang menyayangi kamu. Teguklah nasihat dan teguran itu tanpa prasangka. Semua itu demi kebaikanmu juga. Malah dapat dinikmati oleh orang-orang disekeliling kamu.

No comments:

http://bukuez.blogspot.com/